23 February 2011

Penjelasan Isu Tajaan Haji

Assalamualaikum dan Salam sejahtera…

Semalam saya telah menerima sms daripada seorang kawan, memaklumkan bahawa isu tajaan haji masih dibangkitkan di dalam satu laporan Bernama (21 Februari 2011) yang bertajuk Poser Over Inaction Against Son In Law.

Laporan ini telah menyebut kenyataan dari Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia. Setiausahanya, Tengku Amalluddin Sani Raja Ahmad Sufian telah mempersoalkan kenapa Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) tidak mengambil sebarang tindakan ke atas saya, berhubung isu salah urus kewangan dan isu tajaan Haji ini dengan hanya menyerahkan siasatan lanjut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Umum mengetahui bahawa SPRM telahpun menyiasat perkara ini, seterusnya memaklumkan keputusan bahawa kes ini telah ditutup.

Lanjutan itu juga sebagai tanda kesyukuran, TGNA telah mengambil sebahagian dari wang tabungannya untuk diinfaqkan kepada parti, dan saya pula telah membuat kenduri kesyukuran di atas selesainya isu ini.

Setelah perbincangan dibuat dengan beberapa orang individu yang mengetahui hal sebenar tentang isu ini, saya merasakan bahawa perlunya penjelasan mengenai perkara yang berlaku supaya umum akan mengetahui kebenarannya. Lebih-lebih lagi apabila individu yang terlibat sepenuhnya dalam isu tajaan haji ini terusan diam membisu, mungkin untuk menyelamatkan diri seterusnya membiarkan saya yang dipersalahkan.

Asasnya isu tajaan Haji tidak pernah berkait dengan saya, kerana kami suami isteri hanya menyertai rombongan Haji TGNA. Untuk makluman, saya dan isteri telahpun merancang untuk menunaikan ibadat Haji pada tahun 2009 dan telah dimaklumkan kepada ibubapa kedua-dua belah pihak. Bagi tujuan ini dari awal lagi kami telahpun mendaftar diri dengan satu agensi yang diiktiraf dan berpengalaman di Kota Bharu. 

Dalam tempoh tidak lama selepas itu, saya mendapat khabar bahawa ada pihak yang sedang menguruskan rombongan Haji bersama TGNA dan keluarga. Apabila mengetahui hasrat TGNA pada saat-saat akhir untuk menunaikan ibadat Haji pada tahun tersebut (yang sebelumnya masih samar kerana faktor kesihatan), kami suami isteri telahpun meminta persetujuan daripada beliau untuk menyertai rombongan tersebut. TGNA sangat mengalukan hasrat untuk bersamanya, lalu kami membatalkan pendaftaran dengan agensi sebelumnya.  

Tentu sekali penyertaan kami adalah dengan perbelanjaan sendiri kerana kami telahpun mempunyai perancangan untuk ke Tanah Suci. Tuduhan yang menyatakan bahawa saya yang menguruskan tajaan Haji TGNA adalah meleset sama sekali.

Setahun yang lalu media telah secara sembrono meletakkan kesalahan ‘tajaan’ ini kepada saya. Kebenarannya, isu ini dan juga isu-isu lain sebenarnya merupakan ‘pakej isu’ yang dirancang untuk dibesar-besarkan semata-mata untuk mecipta persepsi yang tersendiri. Saya telah digambarkan secara salah dengan dakwaan bahawa menjadi bebanan kepada TGNA. Ditambah lagi dengan gerak saraf dijalankan melalui media dan individu tertentu untuk mendoktrinkan persepsi ini dalam pemikiran umum. Matlamat utama dari ‘pakej isu’ ini adalah perletakan jawatan saya sebagai CEO PMBK untuk kepentingan individu tertentu.

Untuk makluman, saya telah menerangkan isu sebenar mengenai perkara ini kepada media semasa pertemuan bersama wartawan di rumah saya setahun yang lalu. Walau bagaimanapun, penjelasan saya tidak mendapat sebarang liputan media selepas itu. Oleh yang demikian, saya telah mengambil keputusan untuk mendiamkan diri kerana yakin tidak akan mendapat keadilan daripada media perdana dalam tempoh tersebut.

Dalam masa yang sama beberapa isu lain mula dicipta untuk memanaskan situasi ketika itu, sehinggalah isu tajaan Haji juga mula dipalitkan dengan menyebut beberapa nama individu termasuklah saya sendiri. 

Isu ini berlarutan sehingga ramai pihak yang tampil menasihati TGNA untuk membatalkan hasratnya untuk menunaikan Haji pada tahun tersebut. Akhirnya TGNA membuat keputusan untuk membatalkan hasratnya begitu juga kami suami isteri, sebagai tanda kebersamaan dan kasih kami terhadap beliau.

Diharap penjelasan ini akan memberikan gambaran sebenar tentang latar belakang isu ini dan membersihkan nama saya dari tuduhan yang telah diberikan oleh media.

No comments:

Post a Comment