09 January 2011

SIARAN MEDIA | Satu penjelasan


Bismillahhirrahmanirrahim
Assalamualaikum  wbt dan salam Muharam.

Segala puji-pujian bagi Allah swt yang telah memberi nikmat Islam dan Iman kepada kita semua. Dengan sifat Rahman dan RahimNya maka kita masih terus hidup pada hari ini untuk memperoleh nikmat yang melimpah bagi melansungkan kehidupan seharian.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw yang menjadi teladan kepada umatnya untuk memilih jalan terbaik dan diredhai Allah swt, menuju ke pengakhiran kebahagian yang kekal abadi.

Saya terpanggil untuk membuat sedikit ulasan melalui siaran ini setelah merujuk kepada kenyataan media oleh Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil, berhubung hasil penelitian laporan siasatan oleh Jabatan Peguam Negara yang telah membersihkan nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan nama saya, di atas tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa sekitar setahun yang lalu. Perkara ini juga telah mendapat liputan oleh beberapa akhbar perdana pada hari ini.

Setinggi-tinggi syukur kepada Allah swt kerana telah menyelesaikan kes ini dengan pengakhiran yang baik kepada semua dan membersihkan nama saya sekeluarga. Sememangnya dari awal siasatan, situasinya amat tenang dan saya berkeyakinan penuh bahawa semua tuduhan tersebut adalah rekaan semata-mata. Justeru, saya dan kakitangan PMBK telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM Kelantan semasa dalam siasatan.

Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan tahniah kepada SPRM, khususnya kepada Pengarah dan kakitangan SPRM Negeri Kelantan kerana telah menjalankan siasatan kes ini dengan adil dan profesional, walaupun mengambil masa yang agak lama untuk menjelaskan keputusan.

Saya penuh sedar bahawa terdapat banyak gangguan media berlaku semasa siasatan keatas tuduhan yang bermula dengan sekeping ‘surat layang’ ini. Bagi saya, pihak SPRM telah menjalankan tugas dengan baik dan mengikut prosedur tanpa terpengaruh oleh gelombang fitnah yang dirancang dan dicipta oleh pihak tertentu hasil dari artikel-artikel keluaran media dan bloger yang rela diperalatkan. Memang ramai yang terpengaruh dan mula memandang serong kepada kami termasuk segelintir pimpinan tertinggi PAS.

Tidak dapat dinafikan bahawa ujian ini memberi peluang kepada diri untuk bermuhasabah di atas kedhaifan sendiri dan InsyaAllah lebih mematangkan saya untuk mendepani masa depan.

Dalam masa yang sama, rentetan isu ini juga jelas menampakkan ia sememangnya dirancang untuk diperbesarkan menggunakan kemahiran politik yang berkualiti tinggi. Apabila isu ini mendidih, maka asakan membuta tuli kepada saya bermula supaya matlamat operasi yang telah ditetapkan oleh perancangnya tercapai.

Jutaan terima kasih kepada semua ahli keluarga, dan sahabat handai yang memberi sokongan khususnya Ayahanda dan Bonda serta kekanda Nik Abduh kerana memberi sokongan terbuka semasa isu sedang memuncak. Tidak lupa terima kasih khusus kepada Bonda Che Som Bt Che Ali dan ahli keluarga di Machang yang sentiasa mendoakan tanpa jemu untuk keselamatan dan kesejahteraan saya sekeluarga.

Akhir sekali, sekalung penghargaan khusus kepada isteri saya yang tercinta kerana tetap berada di sisi disaat-saat sukar dan memberanikan diri menceritakan hal sebenar dalam artikelnya. Terima kasih juga kerana memberi kebenaran siaran ini dikeluarkan dalam laman Serisuri.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya Negeri Kelantan terus terpelihara dari kerakusan golongan oportunis politik dan broker kuasa yang sentiasa mengancam.

Kita hanya merancang, sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik!

Sekian, wassalam.

Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman
Pulau Melaka

No comments:

Post a Comment