12 March 2011

Tok Guru Santai Di Kebun


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Disiarkan video aktiviti santai Tok Guru di kebunnya untuk tatapan semua. Video ini dirakamkan pada 2 Mei 2010 semasa kami sekeluarga melawat kebun Tok Guru. Rasanya video Tok Guru dalam santai sebegini masih kurang di ruang siber. Sekian

11 March 2011

Pembunuhan Karektor dan Propaganda Media

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,


Dalam sejarah tamadun dan pertembungan bangsa di dunia, terdapat pelbagai kaedah peperangan telah digunakan untuk mengalahkan musuh. Lazimnya, ia meliputi segenap aspek kehidupan hasil terciptanya peluang dari setiap konflik yang berlaku. Pertembungan yang berlaku juga disusuli dengan hidangan pelbagai permainan psikologi melibatkan setiap krisis dalam masyarakat. 


Krisis dan konflik ini dimanipulasi mengikut selera perancang untuk mencapai objektif melemahkan musuh masing-masing. Dalam sesuatu keadaan, misi ini akan melibatkan dana yang tidak terhad bagi menembusi struktur masyarakat, mendoktrin pemikiran yang diperlukan melalui semua alat propaganda yang telah tersedia digunakan. Sudah semestinya semua misi ini dilaksanakan secara sulit oleh manusia atau kumpulan manusia yang agak kecil. 


Dalam masa yang sama perancang jenayah ini, sentiasa membuat perbincangan secara berkala bagi tujuan mengukur kesan kepada serangan yang telah dilancar seterusnya merancang langkah susulan.

Pembunuhan karekter atau character assassination adalah antara kaedah popular digunakan dalam sesuatu pertembungan. Biasanya kaedah ini melibatkan individu tertentu yang menjadi ancaman kepada sesuatu pihak yang berkuasa atau yang mahu berkuasa. Kadang kala ia juga digunakan untuk menghapuskan peluang atau potensi yang sedia terbina pada musuh sebelum ianya bertambah besar menjadi ancaman yang lebih serius. 


Dalam banyak operasi pembunuhan karektor ini, reputasi dan integriti musuh (mangsa) akan cuba dirosakkan melalui manipulasi fakta secara besar-besaran dan berlebihan bagi mencipta kesan psikologi serta persepsi buruk kepada musuh. Gambaran salah yang tercipta dari manipulasi fakta ini biasanya akan disusuli dengan tindakan untuk memalukan individu tersebut dengan hujah-hujah yang boleh dipertikaian tetapi dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh tertentu. 


Bagi memastikan misi yang dilancarkan berjaya, semua saluran yang boleh digunakan musuh untuk membetulkan fakta dengan hujah balas mesti ditutup rapat. Sebarang langkah yang mungkin perlu dilaksanakan termasuk memalukan atau memukul mangsa serta orang bersimpati dengan mangsa. Tekanan perlu dilaksanakan secara berterusan kepada pihak yang bersimpati dengan mangsa termasuk menggunakan kelemahan individu berkenaan supaya diam dan jangan berbuat apa-apa. Biasanya kerja-kerja bagi peringkat ini akan dilakukan oleh askar-askar upahan tanpa mereka mengetahui siapa perancang sebenar. 


Dalam banyak kes, pembunuhan karektor akan memberi kesukaran kepada mangsa untuk berkomunikasi kerana mungkin akan ditolak oleh keluarga, kawan-kawan dan masyarakat. Ada juga kes yang meninggalkan stigma konflik imej dan persepsi buruk kepada mangsa sepanjang hayat walaupun fakta sebenar hanya mewakili peratus yang sangat kecil dari apa yang dihidangkan. Lebih teruk lagi jika mangsa sememangnya tidak bersalah tetapi terperangkap dengan keadaan semasa yang menyukarkan pendedahan hakikat sebenar dilakukan.

Jika dilihat dari sejarah dunia, pembunuhan karektor menjadikan kemusnahan persepsi berlaku kepada mangsa selama berabad-abad atau merentas generasi demi generasi sebelum fakta sebenar ditemui. Biasanya perkara ini terjadi kepada figur politik atau dalam lingkungan politik di sesuatu tempat atau negara.

Adalah menjadi kebiasaan, setiap misi pembunuhan karektor akan melibatkan peranan media yang maksima, malah tidak keterlaluan jika dikatakan kebijaksaan propaganda media akan menentukan sejauh mana kejayaan dalan operasi pembunuhan karektor.

Pada masa kini, peranan media dalam operasi pembunuhan karektor telah dirancakkan lagi dengan munculnya media baru hasil ledakan teknologi maklumat. Jika dulu, semua operasi serangan perlu melalui media perdana (cetak atau elektronik) menyebabkan keberkesanan manipulasi media hanya berkisar kepada pemerintah atau orang yang mempunyai akses kepada media tersebut. Tetapi, kepesatan teknologi maklumat membolehkan saluran media baru ini digunakan oleh sesiapa saja yang mempunyai kepakaran dalam melaksanakan operasi pembunuhan karektor. 


Tidak dinafikan, gerak saraf oleh sekumpulan manusia juga perlu untuk membuat susulan bagi setiap propaganda yang dilancarkan. Bagaimanapun, media baru tetap menjadi saluran utama kerana capaian yang dibuat adalah meliputi seluruh muka bumi ini.

Perancang misi pembunuhan karektor akan menggunakan blog, facebook, tweeter dan pelbagai saluran media baru yang tersedia di dalam lebuhraya maklumat. Semua alat ini akan digunakan untuk mendedahkan kelemahan musuh, mencipta musuh baru kepada mangsa melalui manipulasi fakta dan menggambarkan mangsa sebagai bebanan kepada masyarakat atau sesuatu organisasi. 


Corak laporan yang berat sebelah dan menafikan hak musuh untuk membalas hujah serta mencipta kenyataan negatif yang tidak disebut oleh mangsa melalui saluran ini akan menjadikan kesan berganda kepada misi seterusnya mendorong kejayaan kepada operasi pembunuhan karektor dalam masa tertentu.

Walau apapun yang berlaku, mangsa yang mengalami serangan biasanya akan mencari jalan alternatif untuk membersihkan nama kerana tidak semua operasi pembunuhan karektor melalui propaganda media akan berjaya. Kadang-kadang kejayaan yang telah dicapai oleh perancang hanya bersifat sementara sahaja tetapi telah diraikan dengan penuh bangga oleh perancang dan sekutunya.

Sejauh mana kejayaan operasi pembunuhan karektor dan pembersihan semula imej mangsa bergantung kepada tektik dan strategi masing-masing. Setiap tindakan yang melampau akan dilihat secara sinis sekurang-kurangnya kepada mereka yang bijak membaca gerak tari tindakan tersebut.

Sebagai pedoman kepada mangsa, Islam mengajar kita semua untuk sentiasa solat dan berdoa kepada Allah swt di atas sebarang musibah yang berlaku. Di samping sentiasa muhasabah diri, doa dikira sangat berkesan untuk meluahkan perasaan kepada Allah swt di atas pengkhianatan yang berlaku. Kita perlu sama-sama merujuk kepada ajaran Islam yang menyebut “doa itu adalah senjata bagi orang mukmin.” Dan “doa orang yang dizalimi tiada hijab disisi Allah swt.” 


Setiap sesuatu yang terjadi perlu dilihat dari perspektif yang baik dan positif di samping menanam keyakinan setiap perbuatan khianat dan zalim akan dibalas oleh Allah samada di dunia atau di akhirat jua.

“Ya Allah, tuhan yang maha berkuasa, pohon engkau beri pertolongan kepadaku di atas orang yang berbuat zalim kepada ku, pohon engkau beri pembelaan kepada ku di atas orang yang mengkhianatiku, pohon engkau membalas bagi diriku di atas orang yang menjatuhkan maruah dan kehormatanku. Engkau balas bela lah diriku dan hukumlah dengan hukaman yang setimpal diatas perbuatan mereka serta kembalikan segala perancangan jahat mereka itu kepada mereka sendiri. Amin ya rabbal alamin”

23 February 2011

Penjelasan Isu Tajaan Haji

Assalamualaikum dan Salam sejahtera…

Semalam saya telah menerima sms daripada seorang kawan, memaklumkan bahawa isu tajaan haji masih dibangkitkan di dalam satu laporan Bernama (21 Februari 2011) yang bertajuk Poser Over Inaction Against Son In Law.

Laporan ini telah menyebut kenyataan dari Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia. Setiausahanya, Tengku Amalluddin Sani Raja Ahmad Sufian telah mempersoalkan kenapa Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) tidak mengambil sebarang tindakan ke atas saya, berhubung isu salah urus kewangan dan isu tajaan Haji ini dengan hanya menyerahkan siasatan lanjut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Umum mengetahui bahawa SPRM telahpun menyiasat perkara ini, seterusnya memaklumkan keputusan bahawa kes ini telah ditutup.

Lanjutan itu juga sebagai tanda kesyukuran, TGNA telah mengambil sebahagian dari wang tabungannya untuk diinfaqkan kepada parti, dan saya pula telah membuat kenduri kesyukuran di atas selesainya isu ini.

Setelah perbincangan dibuat dengan beberapa orang individu yang mengetahui hal sebenar tentang isu ini, saya merasakan bahawa perlunya penjelasan mengenai perkara yang berlaku supaya umum akan mengetahui kebenarannya. Lebih-lebih lagi apabila individu yang terlibat sepenuhnya dalam isu tajaan haji ini terusan diam membisu, mungkin untuk menyelamatkan diri seterusnya membiarkan saya yang dipersalahkan.

Asasnya isu tajaan Haji tidak pernah berkait dengan saya, kerana kami suami isteri hanya menyertai rombongan Haji TGNA. Untuk makluman, saya dan isteri telahpun merancang untuk menunaikan ibadat Haji pada tahun 2009 dan telah dimaklumkan kepada ibubapa kedua-dua belah pihak. Bagi tujuan ini dari awal lagi kami telahpun mendaftar diri dengan satu agensi yang diiktiraf dan berpengalaman di Kota Bharu. 

Dalam tempoh tidak lama selepas itu, saya mendapat khabar bahawa ada pihak yang sedang menguruskan rombongan Haji bersama TGNA dan keluarga. Apabila mengetahui hasrat TGNA pada saat-saat akhir untuk menunaikan ibadat Haji pada tahun tersebut (yang sebelumnya masih samar kerana faktor kesihatan), kami suami isteri telahpun meminta persetujuan daripada beliau untuk menyertai rombongan tersebut. TGNA sangat mengalukan hasrat untuk bersamanya, lalu kami membatalkan pendaftaran dengan agensi sebelumnya.  

Tentu sekali penyertaan kami adalah dengan perbelanjaan sendiri kerana kami telahpun mempunyai perancangan untuk ke Tanah Suci. Tuduhan yang menyatakan bahawa saya yang menguruskan tajaan Haji TGNA adalah meleset sama sekali.

Setahun yang lalu media telah secara sembrono meletakkan kesalahan ‘tajaan’ ini kepada saya. Kebenarannya, isu ini dan juga isu-isu lain sebenarnya merupakan ‘pakej isu’ yang dirancang untuk dibesar-besarkan semata-mata untuk mecipta persepsi yang tersendiri. Saya telah digambarkan secara salah dengan dakwaan bahawa menjadi bebanan kepada TGNA. Ditambah lagi dengan gerak saraf dijalankan melalui media dan individu tertentu untuk mendoktrinkan persepsi ini dalam pemikiran umum. Matlamat utama dari ‘pakej isu’ ini adalah perletakan jawatan saya sebagai CEO PMBK untuk kepentingan individu tertentu.

Untuk makluman, saya telah menerangkan isu sebenar mengenai perkara ini kepada media semasa pertemuan bersama wartawan di rumah saya setahun yang lalu. Walau bagaimanapun, penjelasan saya tidak mendapat sebarang liputan media selepas itu. Oleh yang demikian, saya telah mengambil keputusan untuk mendiamkan diri kerana yakin tidak akan mendapat keadilan daripada media perdana dalam tempoh tersebut.

Dalam masa yang sama beberapa isu lain mula dicipta untuk memanaskan situasi ketika itu, sehinggalah isu tajaan Haji juga mula dipalitkan dengan menyebut beberapa nama individu termasuklah saya sendiri. 

Isu ini berlarutan sehingga ramai pihak yang tampil menasihati TGNA untuk membatalkan hasratnya untuk menunaikan Haji pada tahun tersebut. Akhirnya TGNA membuat keputusan untuk membatalkan hasratnya begitu juga kami suami isteri, sebagai tanda kebersamaan dan kasih kami terhadap beliau.

Diharap penjelasan ini akan memberikan gambaran sebenar tentang latar belakang isu ini dan membersihkan nama saya dari tuduhan yang telah diberikan oleh media.

09 January 2011

SIARAN MEDIA | Satu penjelasan


Bismillahhirrahmanirrahim
Assalamualaikum  wbt dan salam Muharam.

Segala puji-pujian bagi Allah swt yang telah memberi nikmat Islam dan Iman kepada kita semua. Dengan sifat Rahman dan RahimNya maka kita masih terus hidup pada hari ini untuk memperoleh nikmat yang melimpah bagi melansungkan kehidupan seharian.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw yang menjadi teladan kepada umatnya untuk memilih jalan terbaik dan diredhai Allah swt, menuju ke pengakhiran kebahagian yang kekal abadi.

Saya terpanggil untuk membuat sedikit ulasan melalui siaran ini setelah merujuk kepada kenyataan media oleh Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil, berhubung hasil penelitian laporan siasatan oleh Jabatan Peguam Negara yang telah membersihkan nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan nama saya, di atas tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa sekitar setahun yang lalu. Perkara ini juga telah mendapat liputan oleh beberapa akhbar perdana pada hari ini.

Setinggi-tinggi syukur kepada Allah swt kerana telah menyelesaikan kes ini dengan pengakhiran yang baik kepada semua dan membersihkan nama saya sekeluarga. Sememangnya dari awal siasatan, situasinya amat tenang dan saya berkeyakinan penuh bahawa semua tuduhan tersebut adalah rekaan semata-mata. Justeru, saya dan kakitangan PMBK telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM Kelantan semasa dalam siasatan.

Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan tahniah kepada SPRM, khususnya kepada Pengarah dan kakitangan SPRM Negeri Kelantan kerana telah menjalankan siasatan kes ini dengan adil dan profesional, walaupun mengambil masa yang agak lama untuk menjelaskan keputusan.

Saya penuh sedar bahawa terdapat banyak gangguan media berlaku semasa siasatan keatas tuduhan yang bermula dengan sekeping ‘surat layang’ ini. Bagi saya, pihak SPRM telah menjalankan tugas dengan baik dan mengikut prosedur tanpa terpengaruh oleh gelombang fitnah yang dirancang dan dicipta oleh pihak tertentu hasil dari artikel-artikel keluaran media dan bloger yang rela diperalatkan. Memang ramai yang terpengaruh dan mula memandang serong kepada kami termasuk segelintir pimpinan tertinggi PAS.

Tidak dapat dinafikan bahawa ujian ini memberi peluang kepada diri untuk bermuhasabah di atas kedhaifan sendiri dan InsyaAllah lebih mematangkan saya untuk mendepani masa depan.

Dalam masa yang sama, rentetan isu ini juga jelas menampakkan ia sememangnya dirancang untuk diperbesarkan menggunakan kemahiran politik yang berkualiti tinggi. Apabila isu ini mendidih, maka asakan membuta tuli kepada saya bermula supaya matlamat operasi yang telah ditetapkan oleh perancangnya tercapai.

Jutaan terima kasih kepada semua ahli keluarga, dan sahabat handai yang memberi sokongan khususnya Ayahanda dan Bonda serta kekanda Nik Abduh kerana memberi sokongan terbuka semasa isu sedang memuncak. Tidak lupa terima kasih khusus kepada Bonda Che Som Bt Che Ali dan ahli keluarga di Machang yang sentiasa mendoakan tanpa jemu untuk keselamatan dan kesejahteraan saya sekeluarga.

Akhir sekali, sekalung penghargaan khusus kepada isteri saya yang tercinta kerana tetap berada di sisi disaat-saat sukar dan memberanikan diri menceritakan hal sebenar dalam artikelnya. Terima kasih juga kerana memberi kebenaran siaran ini dikeluarkan dalam laman Serisuri.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya Negeri Kelantan terus terpelihara dari kerakusan golongan oportunis politik dan broker kuasa yang sentiasa mengancam.

Kita hanya merancang, sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik!

Sekian, wassalam.

Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman
Pulau Melaka

salam ta'ruf.. Kebebasan


Adakah kebebasan bersuara menjadi halangan buat KITA meluahkan pandangan.